Thursday, July 12, 2012

Definisi dan Potensi Wakaf


Wakaf

                Secara ringkasnya definisi wakaf ialah satu badan amal [1]. Dari segi bahasa, wakaf bermaksud menyebabkan sesuatu benda itu untuk berhenti dan tidak bergerak. Definisi wakaf yang lebih mendalam ialah menghalang sesuatu harta itu daripada dibeli atau dijual, menjadikan harta tersebut milik Allah SWT dan menggunakan harta tersebut untuk manfaat manusia. Semasa zaman pemerintahan Turki Uthmaniah, wakaf digunakan untuk membekukan aset hartanah yang membuahkan hasil (i.e. hartanah tersebut tidak boleh lagi dijual atau dibeli, dan hartanah tersebut bukan lagi milik individu) dan hasilnya digunakan untuk kebajikan [1].
                Wakaf telah dipraktiskan semenjak zaman Rasulullah SAW. Menurut Dr Mustafa as-Siba’ee di dalam buku ‘Civilization of Faith’ [2], seorang sahabat bernama Abu ad-Dahdah telah mewakafkan satu-satunya harta beliau iaitu sebuah dusun dengan 700 pepohon buah. Abu ad-Dahdah mewakafkan dusunnya selepas Allah SWT menurunkan ayat:
Barang siapa meminjam (menginfakkan hartanya di jalan Allah) Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (245:al-Baqarah)
Setelah mendengar ayat 92 surah al-Imran, Abu Talhah al-Ansari pula telah mewakafkan telaga Bayraha’ dan memberikan telaga tersebut kepada Rasulullah SAW untuk baginda lakukan seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW juga telah mewakafkan tujuh dusun yang diwasiatkan kepada baginda oleh seorang tentera islam [2].
                Institusi wakaf diteruskan selepas kewafatan Rasulullah. Umar al-Khatab semasa pemerintahan beliau, melawat kem tentera Arab di Jalwan dan membuat keputusan untuk mewakafkan tanah jajahan yang dimenangi tentera Islam. Hasil daripada tanah jajahan tersebut akan digunakan untuk manfaat seluruh umat islam. Mencontohi Umar, kerajaan Turki Uthmaniah juga mewakafkan tanah jajahan yang diperolehi daripada peperangan dan tanah jajahan ini adalah dibawah pengurusan Baitulmal. Tanah jajahan ini akan disewakan kepada individu untuk diusahakan [1]. Wakaf yang diwujudkan daripada tanah jajahan merupakan contoh wakaf yang ditubuhkan kerajaan. Wakaf juga banyak dilakukan oleh individu-individu.
                Institusi wakaf digunakan untuk membiayai projek kebajikan yang menguntungkan semua rakyat di dalam kerajaan Islam. Antara institusi-institusi sosial yang dibiayai wakaf adalah pendidikan, masjid, kesihatan dan ketenteraan. Contohnya, madrasah al-Nooriyah di Damascus yang diasaskan Noor ad-Din al-Shahid dibina melalui wakaf. Contoh lain ialah Universiti al-Azhar di Mesir.
                Daripada pelbagai contoh-contoh yang dibentangkan di dalam buku ‘Civilization of Faith’ [2], dapat dilihat akan kepentingan institusi wakaf, semasa zaman kerajaan Islam, dalam mendokong institusi-institusi sosial yang lain. Wakaf mempunyai potensi untuk menjadi sumber pembiayaan projek-projek yang bertujuan untuk membangunkan institusi sosial dan ekonomi. Sebagai contoh, pembinaan sebuah lebuhraya boleh dibiayai oleh wang yang diinfakkan rakyat dan lebuhraya tersebut menjadi harta wakaf (lebuh raya tersebut tidak dimiliki manusia dan tidak boleh dijual beli). Manfaat daripada penggunaan lebuh raya tersebut dapat dinikmati rakyat manakala keuntungan wang daripada lebuhraya tersebut (hasil daripada kutipan sewa kedai makan di tempat perhentian dan/atau hasil kutipan tol) boleh disumbangkan kearah wakaf institusi sosial yang lain seperti pendidikan dan kesihatan.
Persoalan yang boleh ditimbulkan ialah mengapa wakaf tidak digunakan oleh kerajaan-kerajaan masa kini, khususnya, untuk membiayai institusi-institusi asas kehidupan seperti pendidikan, kesihatan dan pengangkutan?  Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila kerajaan perlu berhutang dengan pihak bank untuk membiayai pembangunan institusi-institusi sosial ini. Kesan buruk akibat daripada hutang negara dapat dilihat dengan memerhatikan nasib rakyat Greece, Ireland and Portugal apabila negara mereka muflis. Mampukan wakaf menjadi institusi yang mendokong pembangunan ekonomi dan sosial sebuah negara tanpa bergantung kepada hutang negara?
               

Sumber

[1] John Robert Barnes, An Introduction to Religious Foundations in the Ottoman Empire, E.J. Brill, 1986.
[2] Mustafa as-Siba’ie, Civilization of Faith: A Journey through Islamic History, International Islamic Publication House, 2005.

No comments:

Post a Comment