Thursday, July 12, 2012

Definisi dan Potensi Wakaf


Wakaf

                Secara ringkasnya definisi wakaf ialah satu badan amal [1]. Dari segi bahasa, wakaf bermaksud menyebabkan sesuatu benda itu untuk berhenti dan tidak bergerak. Definisi wakaf yang lebih mendalam ialah menghalang sesuatu harta itu daripada dibeli atau dijual, menjadikan harta tersebut milik Allah SWT dan menggunakan harta tersebut untuk manfaat manusia. Semasa zaman pemerintahan Turki Uthmaniah, wakaf digunakan untuk membekukan aset hartanah yang membuahkan hasil (i.e. hartanah tersebut tidak boleh lagi dijual atau dibeli, dan hartanah tersebut bukan lagi milik individu) dan hasilnya digunakan untuk kebajikan [1].
                Wakaf telah dipraktiskan semenjak zaman Rasulullah SAW. Menurut Dr Mustafa as-Siba’ee di dalam buku ‘Civilization of Faith’ [2], seorang sahabat bernama Abu ad-Dahdah telah mewakafkan satu-satunya harta beliau iaitu sebuah dusun dengan 700 pepohon buah. Abu ad-Dahdah mewakafkan dusunnya selepas Allah SWT menurunkan ayat:
Barang siapa meminjam (menginfakkan hartanya di jalan Allah) Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (245:al-Baqarah)
Setelah mendengar ayat 92 surah al-Imran, Abu Talhah al-Ansari pula telah mewakafkan telaga Bayraha’ dan memberikan telaga tersebut kepada Rasulullah SAW untuk baginda lakukan seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW juga telah mewakafkan tujuh dusun yang diwasiatkan kepada baginda oleh seorang tentera islam [2].
                Institusi wakaf diteruskan selepas kewafatan Rasulullah. Umar al-Khatab semasa pemerintahan beliau, melawat kem tentera Arab di Jalwan dan membuat keputusan untuk mewakafkan tanah jajahan yang dimenangi tentera Islam. Hasil daripada tanah jajahan tersebut akan digunakan untuk manfaat seluruh umat islam. Mencontohi Umar, kerajaan Turki Uthmaniah juga mewakafkan tanah jajahan yang diperolehi daripada peperangan dan tanah jajahan ini adalah dibawah pengurusan Baitulmal. Tanah jajahan ini akan disewakan kepada individu untuk diusahakan [1]. Wakaf yang diwujudkan daripada tanah jajahan merupakan contoh wakaf yang ditubuhkan kerajaan. Wakaf juga banyak dilakukan oleh individu-individu.
                Institusi wakaf digunakan untuk membiayai projek kebajikan yang menguntungkan semua rakyat di dalam kerajaan Islam. Antara institusi-institusi sosial yang dibiayai wakaf adalah pendidikan, masjid, kesihatan dan ketenteraan. Contohnya, madrasah al-Nooriyah di Damascus yang diasaskan Noor ad-Din al-Shahid dibina melalui wakaf. Contoh lain ialah Universiti al-Azhar di Mesir.
                Daripada pelbagai contoh-contoh yang dibentangkan di dalam buku ‘Civilization of Faith’ [2], dapat dilihat akan kepentingan institusi wakaf, semasa zaman kerajaan Islam, dalam mendokong institusi-institusi sosial yang lain. Wakaf mempunyai potensi untuk menjadi sumber pembiayaan projek-projek yang bertujuan untuk membangunkan institusi sosial dan ekonomi. Sebagai contoh, pembinaan sebuah lebuhraya boleh dibiayai oleh wang yang diinfakkan rakyat dan lebuhraya tersebut menjadi harta wakaf (lebuh raya tersebut tidak dimiliki manusia dan tidak boleh dijual beli). Manfaat daripada penggunaan lebuh raya tersebut dapat dinikmati rakyat manakala keuntungan wang daripada lebuhraya tersebut (hasil daripada kutipan sewa kedai makan di tempat perhentian dan/atau hasil kutipan tol) boleh disumbangkan kearah wakaf institusi sosial yang lain seperti pendidikan dan kesihatan.
Persoalan yang boleh ditimbulkan ialah mengapa wakaf tidak digunakan oleh kerajaan-kerajaan masa kini, khususnya, untuk membiayai institusi-institusi asas kehidupan seperti pendidikan, kesihatan dan pengangkutan?  Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila kerajaan perlu berhutang dengan pihak bank untuk membiayai pembangunan institusi-institusi sosial ini. Kesan buruk akibat daripada hutang negara dapat dilihat dengan memerhatikan nasib rakyat Greece, Ireland and Portugal apabila negara mereka muflis. Mampukan wakaf menjadi institusi yang mendokong pembangunan ekonomi dan sosial sebuah negara tanpa bergantung kepada hutang negara?
               

Sumber

[1] John Robert Barnes, An Introduction to Religious Foundations in the Ottoman Empire, E.J. Brill, 1986.
[2] Mustafa as-Siba’ie, Civilization of Faith: A Journey through Islamic History, International Islamic Publication House, 2005.

Monday, July 9, 2012

Journal berkaitan wakaf yang menarik

Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi Umat Islam dan Aplikasinya di Malaysia merupakan satu journal yang dikarang oleh Asmak Ab Rahman menerangkan contoh-contoh perlaksanaan wakaf di Malaysia. Journal ini turut menerangkan kebaikan wakaf dalam pembangunan ekonomi. Namun begitu, journal ini tidak menyatakan saranan atau cadangan untuk meningkatkan lagi penggunaan wakaf dalam pembangunan sosio-ekonomi di Malaysia. Saya bersetuju dengan peranan wakaf dalam pembangunan tetapi pada pendapat saya inisiatif di Malaysia masih boleh ditingkatkan kerana kerajaan Malaysia tidak menggunakan sepenuhnya wakaf untuk membiayai projek-projek sosio-ekonomi.

Journal ini boleh diperolehi disini.

Thursday, May 17, 2012

Wakaf dan Negara Kebajikan


Malaysia sebagai sebuah negara kebajikan menjadi isu hangat apabila parti PAS menyatakan matlamat mereka untuk menjadikan Malaysia negara kebajikan[1]. Negara kebajikan adalah satu konsep dimana kerajaan dipertanggung jawabkan untuk menyediakan keperluan asas (contoh, pendidikan dan kesihatan) dan memantau ekonomi.

United Kingdom (UK) merupakan satu contoh sebuah negara kebajikan. Kerajaan UK menyediakan pendidikan peringkat sekolah dan perkhidmatan kesihatan percuma. Kerajaan UK turut memberi 'benefits' kepada rakyatnya seperti ‘job seekers allowance’ yang diberikan kepada rakyat UK yang sedang mencari pekerjaan. Kerajaan UK juga dikehendaki campur tangan di dalam ekonomi untuk memastikan ekonomi sentiasa stabil. Antara contoh tindakan kerajaan UK untuk menjaga kestabilan ekonomi ialah dengan menyelamatkan bank RBS daripada masalah kewangan yang disebabkan kemelesatan ekonomi pada tahun 2008.

Konsep negara kebajikan ada banyak kebaikannya seperti memastikan semua rakyat mendapat pendidikan dan perkhidmatan kesihatan percuma. Namun begitu, melaksanakan konsep negara kebajikan memerlukan perbelanjaan yang besar. Perbelanjaan untuk perkhidmatan kesihatan di UK berjumlah GBP106 billion untuk tahun 2011/2012 dan perbelanjaan ini akan meningkat dari tahun ke tahun[2].

Article ini akan membincangkan konsep waqaf yang boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan sebuah negara kebajikan.

Waqaf dan Kelebihannya
Untuk membiayai sebuah negara kebajikan, terdapat beberapa sumber pendapatan yang kerap digunakan oleh pihak kerajaan. Perbelanjaan sebuah negara kebajikan kebiasaannya ditanggung melalui pendapatan melalui hasil kutipan cukai, pendapatan hasil daripada jualan hasil bumi dan pinjaman dari pihak bank.

Selain daripada tiga sumber pendapatan yang dinyatakan di atas, satu lagi sumber pendapatan yang kurang mendapat perhatian dan tidak diimplementasi oleh kebanyakan negara kebajikan ialah waqaf. Waqaf merupakan satu institusi yang dilaksanakan semasa pemerintahan Rasulullah S.A.W. dan zaman-zaman pemerintah islam selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. untuk menyediakan infrastruktur-infrastruktur untuk manfaat masyarakat[3].

Waqaf didefinisikan secara ringkas sebagai pemberian sesuatu harta oleh seorang/sekumpulan individu untuk manfaat masyarakat. Matlamat utama pemberian waqaf adalah untuk membantu masyarakat dengan ikhlas. Waqaf berbeza dengan zakat dimana hukum memberi waqaf adalah sunat manakala zakat pula wajib. Fokus harta waqaf juga berbeza dengan harta zakat dimana harta zakat hanya boleh diberikan kepada golongan-golongan tertentu seperti fakir miskin, manakala harta waqaf boleh dimanfaatkan semua. Kadar yang perlu dibayar juga berbeza dimana zakat yang yang perlu dibayar oleh seorang individu adalah tetap manakala waqaf boleh disumbangkan mengikut kemampuan dan keikhlasan.

Waqaf mempunyai banyak kebaikan. Antaranya ialah:
1.      Pemberi waqaf mendapat ganjaran daripada Allah SWT[4]
2.      Perbuatan memberi waqaf mengikut sunnah Rasulullah SAW[5]
3.      Mengeratkan ukhwah diantara anggota masyarakat
4.      Memupuk semangat saling bantu membantu
5.      Mengurangkan perbelanjaan kerajaan

Waqaf juga berbeza dengan cukai. Cukai bergantung kepada polisi kerajaan yang dipengaruhi oleh faktor politik dan ekonomi. Parti yang memerintah boleh mengurangkan kadar cukai untuk mendapat sokongan rakyat semasa pilihan raya. Kadar cukai juga boleh dikurangkan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi seperti mengurangkan cukai perniagaan untuk menggalakkan pernubuhan syarikat-syarikat baru. Oleh kerana kadar cukai sentiasa berubah mengikut suasana politik dan ekonomi sebuah negara, hasil pungutan cukai kadang kala tidak mampu untuk menanggung semua perbelanjaan kerajaan. Disinilah kelebihan sistem waqaf dimana waqaf disumbangkan mengikut kemampuan. Jika terdapat 1 juta rakyat yang berada dalam kategori tidak layak dikenakan cukai tapi mampu menyumbangkan RM1 sebulan kepada waqaf, maka kerajaan dapat mengumpulkan RM 1 juta setiap bulan.

Waqaf juga merupakan satu sistem yang lebih ‘sustainable’ daripada menggunakan pendapatan hasil jualan hasil bumi. Hasil bumi seperti petroleum dan gas asli merupakan satu sumber yang terhad dan perlu dikawal penjualannya untuk kebaikan jangka panjang. Hasil bumi seperti kayu balak pula tidak boleh ditebang sewenang-wenangnya kerana ia akan memudaratkan alam sekitar.

Pinjaman daripada pihak bank seperti IMF dan Bank Dunia bukan satu penyelesaian kepada perbelanjaan sebuah negara. Semenjak peristiwa kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2008, negara kebajikan seperti UK, US dan Italy menghadapi masalah kewangan yang berpunca daripada hutang negara yang semakin tinggi. Malah terdapat beberapa negara Eropah seperti Ireland dan Greece yang muflis kerana berhutang.

Malaysia - Sebuah Negara Kebajikan
Menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kebajikan melalui sistem waqaf bermakna ‘kebajikan’ yang diperolehi rakyat bukan disediakan kerajaan tetapi diusahakan bersama oleh semua rakyat. Melalui sistem waqaf, keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan dan sistem pengangkutan dibina menggunakan sumbangan individu dan syarikat-syarikat korporat. Sistem cukai pula digunakan untuk membayar kos operasi infrastruktur-infrastruktur ini. Contohnya, untuk memperolehi pendidikan percuma, rakyat-rakyat akan menyumbang kepada pembinaan sekolah-sekolah dan universiti-universiti. Kemudian, cukai akan dikutip untuk membayar gaji kakitangan sekolah dan universiti.

Selain daripada itu, kerajaan sebuah negara kebajikan juga berperanan memastikan ekonomi negara sentiasa stabil dan meningkat. Untuk ini, projek-projek yang menjana ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat perlu dilaksanakan oleh usahawan-usahawan dan dibiayai oleh pihak bank menggunakan konsep mudharabah. Projek-projek ini tidak sepatutnya dibiayai oleh pihak kerajaan menggunakan duit cukai atau pun pinjaman bank oleh pihak kerajaan.

Pendapatan hasil daripada jualan hasil bumi pula boleh digunakan untuk membayar hutang negara (hutang negara pada 2011 ialah 4480,846 juta[6]) dan menutupi kekurangan dalam perbelanjaan yang sepatutnya dibiayai oleh kutipan cukai dan tabung waqaf.

Cabaran Perlaksanaan Waqaf di Malaysia
Kejayaan sistem waqaf banyak bergantung kepada kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab mereka untuk bekerjasama demi kebaikan semua. Oleh itu, cabaran utama perlaksanaan sistem waqaf ialah kurangnya kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab mereka dan sifat manja rakyat yang sentiasa bergantung kepada kerajaan untuk menyediakan segala keperluan mereka. Selain daripada itu sifat-sifat manusia yang bercanggah dengan konsep bantu-membantu dan ukhwah turut menjadi cabaran. Sifat seperti individualistik, materialistik dan kedekut merupakan sifat-sifat negatif yang boleh menggagalkan perlaksanaan sistem waqaf.

Selain itu, pada masa kini, tiada sistem berpusat untuk melaksanakan sistem waqaf secara menyeluruh untuk menanggung perbelanjaan pembinaan infrastruktur asas yang diperlukan rakyat. Kerana tiadanya sistem ini, sukar untuk rakyat Malaysia untuk mengetahui keperluan rakyat dari kawasan lain. Contohnya, penduduk Kuala Lumpur tidak mengetahui akan keperluan sekolah-sekolah di negeri Kelantan, Kedah atau Johor. Kementerian-kementerian kerajaan boleh memainkan peranan untuk menyelesaikan masalah ini. Contohnya, kementerian pendidikan mengetahui keperluan sekolah-sekolah disetiap negeri. Apa yang perlu dilakukan oleh pihak kementerian ialah menyebarkan maklumat-maklumat ini kepada masyarakat menggunakan media-media massa dan membuka tabung waqaf untuk .

Kesimpulan
Waqaf merupakan satu sistem yang boleh digunakan untuk membina sebuah negara kebajikan. Waqaf memberi manfaat kepada individu melalui ganjaran yang dijanjikan Allah SWT dan memanfaatkan masyarakat dengan pembinaan infrastruktur-infrastruktur yang dapat digunakan semua. Namun begitu, menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kebajikan tidak boleh dicapai hanya menggunakan sistem waqaf. Sumber pendapatan lain seperti cukai dan hasil jualan hasil bumi perlu digunakan bersama untuk membiayai perbelanjaan sebuat negara kebajikan. Perkara penting yang perlu dipastikan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara kebajikan ialah:
1.      Rakyat tidak dibebani dengan cukai yang tinggi
2.      Hutang negara tidak meningkat
3.      Pendapatan melalui hasil bumi tidak dijadikan sumber biayaan utama kerana ia terhad
Alam sekitar tidak dimusnahkan


[1] Sumber: negara-kebajikan.blogspot.co.uk
[3] Sumber: Mustafa as-Siba`ee, Civilization of Faith: A Journey through Islamic History, International Islamic Publishing House, 2005.
[4] Diriwayatkan oleh ‘Anas dimana Rasulullah SAW pernah berkata: “Dihari baginda diangkat ke Syurga, baginda melihat tulisan di pintu syurga yang menyatakan setiap amal jariah akan dibalas 10 kali ganda dan setiap pinjaman akan dibalas 18 kali ganda.”
[5] Rasulullah SAW mewaqafkan tujuh dusun yang diwasiatkan kepada baginda oleh seorang tentera islam yang telah meninggal. Sumber: Mustafa as-Siba`ee, Civilization of Faith: A Journey through Islamic History, International Islamic Publishing House, 2005.

Tuesday, May 15, 2012

Pengenalan

Wakaf merupakan satu konsep dimana seorang individu memberikan hartanya kejalan Allah SWT dengan tujuan harta tersebut dimanfaatkan masyarakat. Saya berminat dengan konsep wakaf ini apabila membaca buku 'Civilization of Faith: Solidarity, Tolerance and Equality in a Nation Built on Shariah. A Journey Through Islamic History' hasil karangan oleh Dr. Mustafa as-SibaƩe yang diterjemah oleh Nasiruddin al-Khatab.

Buku ini menceritakan kelebihan-kelebihan yang terdapat pada negara yang diperintah oleh kerajaan islam (buku ini tidak menyatakan dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan kerajaan islam). Menurut buku ini, antara institusi utama kerajaan islam ialah wakaf. Wakaf digunakan untuk membina masjid, hospital, sekolah dan perpustakaan.

Antara contoh-contoh wakaf yang disertakan di dalam buku ini ialah:
  1. Rasulullah SAW mewakafkan tujuh dusun yang telah diwasiatkan kepada baginda oleh seorang tentera islam yang telah meninggal dunia
  2. Abu Talhah al-Ansari menyerahkan Bayraha - sebuah perigi kepada Rasulullah sebagai wakaf
  3. Universiti al-Azhar yang telah dibina melalui sumbangan wakaf
  4. Hospital Adadi di Baghdad yang telah dibina oleh Adad al-Dawlah ibn Bawayh pada tahun 371 Hijrah
Perkara yang terdetik difikiran saya setelah membaca buku ini ialah bagaimana institusi wakaf dilupakan kerajaan masa kini. Bagaimana sistem wakaf yang digunakan oleh pemerintah untuk membina kemudahan asas digantikan dengan sistem cukai dan hutang negara.

Blog ini saya tulis untuk berkongsi ilmu yang saya perolehi dalam memahami konsep wakaf dan bagaimana ia dapat digunakan dalam pembinaan negara.