Tuesday, May 15, 2012

Pengenalan

Wakaf merupakan satu konsep dimana seorang individu memberikan hartanya kejalan Allah SWT dengan tujuan harta tersebut dimanfaatkan masyarakat. Saya berminat dengan konsep wakaf ini apabila membaca buku 'Civilization of Faith: Solidarity, Tolerance and Equality in a Nation Built on Shariah. A Journey Through Islamic History' hasil karangan oleh Dr. Mustafa as-SibaƩe yang diterjemah oleh Nasiruddin al-Khatab.

Buku ini menceritakan kelebihan-kelebihan yang terdapat pada negara yang diperintah oleh kerajaan islam (buku ini tidak menyatakan dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan kerajaan islam). Menurut buku ini, antara institusi utama kerajaan islam ialah wakaf. Wakaf digunakan untuk membina masjid, hospital, sekolah dan perpustakaan.

Antara contoh-contoh wakaf yang disertakan di dalam buku ini ialah:
  1. Rasulullah SAW mewakafkan tujuh dusun yang telah diwasiatkan kepada baginda oleh seorang tentera islam yang telah meninggal dunia
  2. Abu Talhah al-Ansari menyerahkan Bayraha - sebuah perigi kepada Rasulullah sebagai wakaf
  3. Universiti al-Azhar yang telah dibina melalui sumbangan wakaf
  4. Hospital Adadi di Baghdad yang telah dibina oleh Adad al-Dawlah ibn Bawayh pada tahun 371 Hijrah
Perkara yang terdetik difikiran saya setelah membaca buku ini ialah bagaimana institusi wakaf dilupakan kerajaan masa kini. Bagaimana sistem wakaf yang digunakan oleh pemerintah untuk membina kemudahan asas digantikan dengan sistem cukai dan hutang negara.

Blog ini saya tulis untuk berkongsi ilmu yang saya perolehi dalam memahami konsep wakaf dan bagaimana ia dapat digunakan dalam pembinaan negara.

No comments:

Post a Comment